Dengan 82 juta orang, Jerman ialah negara paling banyak penduduk di dalam Kesatuan Eropah. Namun, kadar kesuburannya adalah yang paling rendah di dunia dengan 1.39 orang anak bagi seorang ibu.Pejabat Perangkaan Persekutuan menganggarkan penduduknya akan mengecut ke antara 69 dan 74 juta orang menjelang tahun 2050.Jerman mempunyai beberapa buah bandar raya besar, di antaranya ialah Berlin, Hamburg, Munich, Cologne, Frankfurt dan Stuttgart. Konurbasi terbesar pula ialah kawasan Rhine-Ruhr, meliputi Düsseldorf (ibu negeri NRW) dan bandar raya-bandar raya seperti Cologne, Essen, Dortmund, Duisburg, dan Bochum.
Jumlah penduduk di wilayah-wilayah Jerman 1800 - 2000 dan jumlah pendatang asing 1975 - 2000.
Sehingga Disember 2006, terdapat sejumlah 7.3 juta orang dengan kewarganegaraan asing yang berdaftar di Jerman dan 18.2% daripada keseluruhan penduduknya adalah berketurunan asing. Golongan muda berkebarangkalian lebih tinggi untuk mempunyai keturunan asing berbanding warga tua. 30% daripada orang-orang Jerman yang berumur 15 tahun atau lebih muda mempunyai sekurang-kurangnya seorang penjaga yang dilahirkan di luar negara. Di bandar raya-bandar raya besar, 60% daripada kanan-kanak berumur 5 tahun dan lebih muda mempunyai sekurang-kurangnya seorang penjaga yang dilahirkan di luar negara.Kumpulan yang terbesar 2.3 juta orang berasal dari Turki dan majoriti lainnya berasal dari negara-negara Eropah seperti Itali (kumpulan kedua terbesar dengan 8% daripada 7 juta warga asing), Greece, Poland dan Croatia. Menurut Tabung Penduduk PBB, jumlah penduduk asing di Jerman merupakan yang ketiga terbesar di dunia, iaitu 5% atau 10 juta daripada 191 juta golongan pendatang di seluruh dunia, atau sekitar 12% daripada keseluruhan penduduknya.Penguatkuasaan undang-undang baru berkenaan imigresen dan permohonan suaka yang lebih ketat berbanding undang-undang lama yang agak longgar pula menyebabkan kadar kemasukan semakin berkurangan sejak tahun 2000.
Hampir keseluruhan Jerman memiliki iklim sederhana bermusim yang dipengaruhi oleh tiupan bayu barat. Iklim ini disederhanakan oleh Arus Atlantik Utara, yang merupakan sambungan kepada Arus Teluk. Air laut yang lebih panas ini memberi kesan kepada kawasan-kawasan yang bersempadankan Laut Utara termasuk Semenanjung Jutland dan kawasan sepanjang Sungai Rhine, yang turut mengalir ke Laut Utara. Oleh yang demikian, kawasan di utara dan barat laut beriklim kelautan. Hujan berlaku sepanjang tahun dengan jumlah terbanyak di musim panas. Musim sejuk adalah sederhana dan musim panas cenderung menjadi sejuk, walaupun suhu boleh melebihi 30 °C bagi tempoh yang panjang. Di timur, iklim adalah lebih kebenuaan dengan musim sejuk yang boleh menjadi sangat sejuk dan musim panas pula sangat panas, selain tempoh kering yang panjang selalu direkodkan. Kawasan tengah dan selatan Jerman adalah wilayah peralihan yang berubah dari iklim kelautan sederhana hinggalah ke kebenuaan. Sekali lagi, suhu maksimum boleh melebihi 32 °C pada musim panas.
Agama
Kristian ialah kumpulan agama terbesar di Jerman dengan 53 juta penganut (64%),Agama kedua terbesar pula ialah Islam dengan 3.3 juta penganut (4%) diikuti dengan penganut Buddha dan Yahudi, kedua-duanya dengan jumlah penganut sekitar 200,000 orang (0.25%). Agama Hindu pula mempunyai sekitar 90,000 orang penganut (0.1%). Lain-lain kumpulan agama memiliki penganut kurang daripada 50,000 orang (kurang daripada 0.05%). Sekitar 24.4 juta orang (29.6%) pula tidak mempunyai agama.
Penganut Protestan bertumpu di utara dan timur manakala penganut Katolik pula bertumpu di selatan dan barat. Masing-masing memiliki penganut sekitar 31% daripada keseluruhan penduduk. Ketua Gereja Katolik Rom pada masa kini, Paus Benedict XVI, dilahirkan di negeri Bavaria. Orang-orang yang tidak beragama, termasuk ateis dan agnostik yang membentuk 29.6% daripada keseluruhan penduduk, kebanyakannya bertumpu di negeri-negeri bekas Jerman Timur dan kawasan metropolitan utama.
Daripada 3.3 juta orang penganut Islam, kebanyakannya adalah golongan Sunnah dan juga Alewi dari Turki, tetapi terdapat juga sekumpulan kecil penganut Syi'ah.1.7% penduduk negara ini mengaku sebagai penganut Kristian Ortodoks, dengan orang-orang berketurunan Serb dan Greek membentuk majoriti.Jerman juga mempunyai jumlah penganut agama Yahudi ketiga terbesar di Eropah Barat.Pada tahun 2004, pendatang-pendatang Yahudi dari bekas republik Soviet berhijrah ke Jerman dalam jumlah yang sama besar dengan kumpulan yang berhijrah ke Israel, membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 200,000 orang berbanding 30,000 sebelum penyatuan semula. Kota-kota besar dengan komuniti penting orang-orang Yahudi termasuklah Berlin, Frankfurt dan Munich. Sementara itu, sekitar 250,000 orang, sebahagian besar merupakan pendatang-pendatang dari Asia, penganut agama Buddha tinggal di Jerman.
Menurut Undian Eurobarometer pada tahun 2005, 47% warga Jerman bersetuju dengan pernyataan: "Saya percaya akan kewujudan Tuhan", sementara 25% pula bersetuju dengan pernyataan: "Saya percaya wujudnya roh atau kuasa kehidupan" dan 25% pula bersetuju dengan: "Saya tidak percaya akan kewujudan roh, tuhan atau kuasa kehidupan".
daerah:
Baden-Württemberg dengan ibukota negara bagian Stuttgart
Bayern dengan ibukota negara bagian Munich
Berlin, salah satu dari 3 kota yang memiliki status sederajat dengan negara bagian, merupakan juga ibukota negara Jerman.
Brandenburg dengan ibukota negara bagian Potsdam
Bremen, juga adalah kota yang berstatus sebagai negara bagian
Hamburg, kota ketiga selain Berlin dan Bremen yang memiliki status khusus sebagai negara bagian.
Hessen dengan ibukota negara bagian Wiesbaden
Mecklenburg-Vorpommern dengan ibukota negara bagian Schwerin
Sachsen Bawah dengan ibukota negara bagian Hannover
Rhein Utara-Westfalen dengan ibukota negara bagian Düsseldorf
Rheinland-Pfalz dengan ibukota negara bagian Mainz
Saarland dengan ibukota negara bagian Saarbrücken
Sachsen dengan ibukota negara bagian Dresden
Sachsen-Anhalt dengan ibukota negara bagian Magdeburg
Schleswig-Holstein dengan ibukota negara bagian Kiel
Thüringen dengan ibukota negara bagian Erfurt
Bahasa
Bahasa Jerman ialah bahasa rasmi dan yang paling dominan yang ditutur di negara Jerman.Ia juga adalah salah satu daripada 23 bahasa rasmi Kesatuan Eropah, dan salah satu bahasa bekerja di Suruhanjaya Eropah, selain bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Bahasa minoriti yang diiktiraf pula termasuklah bahasa Denmark, bahasa Sorbia, bahasa Roma dan bahasa Frisia. Kesemuanya dipelihara dan dilindungi oleh Piagam Eropah bagi Bahasa Wilayah dan Minoriti. Bahasa golongan pendatang yang paling banyak digunakan pula ialah bahasa Turki, Poland, bahasa-bahasa Balkan dan Rusia.
Bahasa Jerman piawai ialah bahasa Jermanik Barat yang sangat berkait rapat dan turut digolongkan bersama-sama bahasa Inggeris, Belanda dan Frisia. Kebanyakan perbendaharaan kata bahasa ini berasal dari cabang Jermanik di dalam keluarga bahasa Indo-Eropah.Beberapa kumpulan kecil perkataan penting pula berpunca daripada bahasa-bahasa Latin, Greek, Perancis, dan juga Inggeris. Tabiat mencampuri dua bahasa (seperti Bahasa Rojak) turut mula menular di kalangan penutur bahasa Jerman, yang dikenali sebagai Denglish (Bahasa rojak yang mencampurkan bahasa Jerman dan Inggeris). Bahasa Jerman ditulis menggunakan abjad Rumi. Namun, terdapat beberapa abjad tambahan iaitu tiga huruf vokal umlaut (ä, ö dan ü) serta Eszett atau scharfes S (S tajam) yang ditulis sebagai "ß" atau gantinya "ss".
Loghat Jerman dibezakan daripada jenis-jenis utama bahas Jerman. Loghat ini adalah jenis tempatan yang berasal daripada puak-puak Jermanik yang berbeza-beza. Kebanyakannya tidak mudah difahami oleh mereka yang hanya boleh bertutur bahasa Jerman piawai kerana kosa kata, sebutan dan susunan ayat yang berlainan.
Di seluruh dunia, bahasa Jerman dituturkan oleh sekitar 100 juta orang penutur asli dan juga sejumlah 80 juta pengguna yang lain.Jerman ialah bahasa utama di EU yang dituturkan oleh lebih 90 juta orang (18%). Sementara itu, 67% warga Jerman mengaku boleh bertutur sekurang-kurangnya satu bahasa asing, 27% yang lain pula boleh bertutur dua bahasa asing selain bahasa ibunda mereka.
Ekonomi
Jerman ialah ekonomi terbesar di Eropah, ketiga terbesar di dunia dari segi KDNK dan kelima dari segi kuasa membeli.Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2007 dicatatkan sebanyak 2.4% dan dijangka akan mengekalkan tahap ini pada tahun-tahun berikutnya.Sejak Era Industrialisasi, negara ini telah menjadi penggerak, pereka dan penerima faedah sebuah ekonomi yang lebih terbuka. Pengeksportan barangan buatan Jerman adalah faktor utama kekayaan negara ini. Jerman ialah negara pengeksport terbesar di dunia dengan jumlah dagangan mencecah €969.1 bilion pada tahun 2007 (termasuk kawasan Euro) dan menghasilkan lebihan dagangan bernilai €159 bilion.Sektor perkhidmatan pula menyumbang sekitar 70% daripada keseluruhan KDNK, berbanding perusahaan sebanyak 29.1% dan pertanian sebanyak 0.9%. Kebanyak produk keluaran negara ini ialah dalam bidang kejuruteraan, khususnya automobil, jentera, logam dan barangan kimia.Jerman juga merupakan negara pengeluar terbesar dunia bagi teknologi turbin angin dan tenaga suria.Beberapa perhimpunan dan pameran dagangan dunia tahunan terbesar diadakan di beberapa buah bandar raya Jerman seperti Hanover, Frankfurt dan Berlin.
Di kalangan syarikat yang disenaraikan di bursa saham terbesar di dunia mengikut pulangan, iaitu Fortune Global 500, 37 daripadanya berpangkalan di Jerman. Sepuluh terbesar adalah Daimler, Volkswagen, Allianz (syarikat paling untung), Siemens, Deutsche Bank, E.ON, Deutsche Post, Deutsche Telekom, Metro dan BASF.Di kalangan majikan terbesar pula antaranya ialah Deutsche Post, Robert Bosch dan EdekaJenama terkenal dunia pula ialah Mercedes Benz, SAP, BMW, Adidas, Siemens, Porsche, Volkswagen dan Deutsche Bank.
Jerman adalah pengeksport terbesar dunia pada tahun 2007.
Jerman adalah negara yang memperjuangkan kesepaduan ekonomi dan politik dalam Eropah, dan dasar komersilnya acapkali ditentukan oleh perjanjian dengan ahli-ahli EU dan perundangan pasaran tunggal EU. Jerman menggunakan matawang bersama Eropah, iaitu euro, dan dasar kewangannya ditentukan oleh Bank Pusat Eropah di Frankfurt. Selepas penyatuan semula Jerman pada tahun 1990, taraf hidup dan pendapatan tahunan masih kekal lebih tinggi di negeri-negeri Jerman Barat.Pemodenan dan integrasi ekonomi Jerman Timur masih berterusan sebagai satu proses jangka panjang yang dijadualkan sehingga tahun 2019, dengan perpindahan tahunan daripada barat ke timur menelan belanja sebanyak $80 bilion. Kadar pengangguran keseluruhan telah turun dengan konsisten sejak tahun 2005 dan mencecah rekod terendah dalam 15 tahun pada bulan Jun 2008 dengan 7.5%peratusan ini meliputi purata 6.2% di Jerman Barat dan 12.7% di Jerman Timur. Kerajaan sebelum ini di bawah Canselor Gerhard Schröder telah melancarkan satu rancangan yang menyeluruh bagi memperbaharui pasaran buruh dan institusi-institusi kebajikan. Kerajaan masa kini pula menjalankan dasar fiskal yang ketat dan telah memotong pekerjaan biasa di dalam sektor awam dengan tujuan mendapatkan belanjawan seimbang pada tahun 2008.
Sains dan teknologi
Jerman telah melahirkan ramai pengkaji terkemuka di dalam pelbagai bidang sains. Hadiah Nobel telah dianugerahkan kepada 100 orang penerima yang berasal dari negara ini.Hasil kerja Albert Einstein dan Max Planck menjadi asas kepada ilmu fizik moden, yang kemudiannya dibangunkan oleh Werner Heisenberg dan Max Born.Mereka ini didahului oleh ahli-ahli fizik seperti Hermann von Helmholtz, Joseph von Fraunhofer dan Gabriel Daniel Fahrenheit. Wilhelm Conrad Röntgen telah menemui Sinar-X yang dipanggil Röntgenstrahlen (bahasa Melayu: Sinar Röntgen) di dalam bahasa Jerman dan beberapa bahasa lain. Penemuannya ini menjadikannya penerima pertama Hadiah Nobel dalam Fizik pada tahun 1901.Werner von Braun telah membangunkan roket angkasa lepas pertama (roket pertama melepasi 100 km sempadan ke angkasa lepas) dan kemudiannya menjadi anggota terkemuka NASA dan membangunkan roket bulan Saturn V, yang membawa kepada kejayaan Amerika Syarikat melalui Rancangan Apollo. Hasil kerja Heinrich Rudolf Hertz di dalam bidang sinaran elektomagnet adalah penting dalam pembangunan teknologi telekomunikasi moden.Melalui pembinaan makmal pertama di Universiti Leipzig pada tahun 1879, Wilhelm Wundt dianggap sebagai pengasas bidang psikologi sebagai sains empirik bebas.Sumbangan Alexander von Humboldt sebagai ahli sains semula jadi dan peneroka pula kemudiannya menjadi asas kepada biogeografi.
Kompleks bilik bersih yang luas untuk pengeluaran mikroelektronik di Stuttgart.
Beberapa ahli matematik terkemuka juga telah dilahirkan di Jerman, termasuklah Carl Friedrich Gauss, David Hilbert, Bernhard Riemann, Gottfried Leibniz, Karl Weierstrass dan Hermann Weyl. Jerman juga merupakan tempat kediaman banyak pereka dan jurutera terkenal seperti Johannes Gutenberg, yang mencipta mesin pencetak boleh gerak; Hans Geiger, pereka pembilang Geiger; dan Konrad Zuse, yang mula-mula mencipta komputer digital automatik.Pereka, pencipta, jurutera dan usahawan seperti Ferdinand von Zeppelin, Otto Lilienthal, Gottlieb Daimler, Rudolf Diesel, Hugo Junkers dan Karl Benz telah membantu membentuk sistem kenderaan dan pengangkutan udara moden.
Institusi-institusi kajian sains yang penting di Jerman ialah Persatuan Max Planck, Masyarakat-Helmholtz dan Persatuan Fraunhofer. Mereka mempunyai hubungan samada secara bebas atau luaran dengan sistem universiti dan menyumbang dalam jumlah yang agak besar terhadap usaha-usaha saintifik di negara ini. Anugerah berprestij Hadiah Gottfried Wilhelm Leibniz dianugerahkan kepada sepuluh orang ahli sains dan akademik pada setiap tahun. Dengan hadiah maksimum €2.5 juta bagi setiap anugerah, ia merupakan salah satu hadiah kajian tertiinggi di dunia.
Pendidikan
Tanggungjawab terhadap pendidikan di Jerman diserahkan kepada negeri-negeri sementara kerajaan persekutuan hanya memiliki peranan kecil. Pendidikan pra-sekolah yang tidak diwajibkan disediakan untuk kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun. Selepas itu, mereka diwajibkan menghadiri pengajian di sekolah selama sekurang-kurangnya sembilan tahun. Pendidikan rendah selalunya berlangsung selama empat tahun dan sekolah-sekolah awam tidak disusun mengikut kategori pada tahap ini.Berbeza pula di peringkat menengah, sistem persekolahan dibahagikan kepada empat jenis berlandaskan kemahiran atau keupayaan murid-murid seperti yang dicadangkan oleh guru, iaitu: Gymnasium, yang turut dihadiri oleh murid-murid yang berbakat besar yang menyediakan mereka ke arah pengajian di universiti dengan kehadiran sekitar lapan atau sembilan tahun bergantung kepada tahap murid-murid; Realschule, yang menawarkan pengajian lebih terbuka dan meluas bagi murid-murid tahap pertengahan yang berlangsung sehingga enam tahun; Hauptschule, yang menawarkan pengajian vokasional; dan juga Gesamtschule atau sekolah komprehensif yang menggabungkan ketiga-tiga jenis sekolah menengah di bawah satu bumbung.
Perpustakaan Universiti Heidelberg. Universiti ini ditubuhkan pada tahun 1386.
Rancangan Penilaian Murid-murid Antarabangsa (PISA) yang dikendalikan oleh OECD, menilai kemahiran murid-murid berumur 15 tahun di negara-negara ahli dan beberapa negara-negara rakan. Pada tahun 2006, murid-murid memperbaiki kedudukan mereka dari tahun-tahun sebelumnya dengan menduduki tangga ke-13 (atas purata) dalam kemahiran sains, tangga ke-20 dalam kemahiran matematik dan tangga ke-18 dalam kemahiran membaca.[Memandangkan tahap kecerunan sosio-ekonomi di Jerman lebih tinggi, pencapaian di Jerman dipengaruhi kuat faktor-faktor sosio-ekonomi berbanding negara-negara lain.
Untuk memasuki sebuah universiti, murid-murid sekolah menengah perlulah menduduki peperiksaan Abitur, yang menyamai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Namun, murid-murid yang memiliki sijil daripada sekolah vokasional boleh juga memohon. Sebuah sistem perantisan yang dipanggil Duale Ausbildung membolehkan murid-murid menghadiri latihan vokasional dengan bekerja (belajar) di syarikat-syarikat perusahaan selain sekolah latihan khas yang dikendalikan kerajaan.Kebanyakan universiti di Jerman dimiliki oleh kerajaan negeri dan mengenakan yuran pengajian yang berbeza-beza dari €50 hingga ke €500 bagi satu semester pengajian.Universiti-universiti Jerman diakui di peringkat antarabangsa, sekaligus menonjolkan nilai pengajian yang tinggi di negara ini. Di dalam "Kedudukan Universiti Dunia THES-QS" pada tahun 2007, tiga buah universiti awam Jerman menduduki tangga 100 utama dunia, manakala 11 yang lain menghuni kedudukan 200 utama.
Pengangkutan
Oleh sebab kedudukan Jerman di Eropah Tengah, terdapat jumlah pergerakan trafik yang amat tinggi di Jerman. Ini termasuk pergerakan trafik darat, udara dan air. Jerman merupakan negara persinggahan penting bagi sektor logistik Eropah dimana majoriti pergerakan trafiknya terdiri daripada pergerakan barang-barang perdagangan. Dalam dekad yang lepas, trafik barang perdagangan sentiasa beralih daripada perkhidmatan rel kepada jalanraya. Justeru itu, Kerajaan Persekutuan Jerman memperkenalkan tol lebuhraya kepada kenderaan berat pada tahun 2005. Disamping itu, trafik awam juga turut meningkat sehingga dalam jaringan jalanraya di Jerman, terdapat kepadatan yang amat tinggi berbanding di peringkat antarabangsa.
Pada masa akan datang dijangka tedapat peningkatan pergerakan trafik penumpang (1997-2015)sekitar 20% dan pergerakan trafik barang perdagangan (1997-2005)meningkat sekitar 64%. Demi memenuhi peningkatan ini, kerajaan persekutuan Jerman telah meluluskan pelaburan sebanyak 150 bilion Euro untuk tempoh 2001 hingga 2015 bagi menambah kapasiti jaringan jalanraya di Jerman.
Perfileman
Industri perfileman di Jerman bermula sejak awal kemunculan medium ini melalui karya Max Skladanowsky. Ia mempunyai pengaruh yang ketara ketika di bawah Republik Weimar dengan diketuai oleh puak ekspresionis seperti Robert Wiene dan Friedrich Wilhelm Murnau. Pengarah Fritz Lang yang berpusat di Austria, yang berjaya sekitar tahun-tahun sebelum perang, dikatakan mempunyai pengaruh besar terhadap industri perfileman Hollywood. Filem bisunya yang bertajuk Metropolis pada tahun 1927 dianggap sebagai kelahiran filem-filem genre fiksyen sains.
Pada tahun 1930 Josef von Sternberg mengarahkan filem Der Blaue Engel (Malaikat Biru), yang menjadi filem utama Jerman yang terawal yang mempunyai bunyi, sekaligus menjadikan pelakon utamanya Marlene Dietrich terkenal.[94] Dokumentari Impressionis bertajuk Berlin: Symphony of a Great City yang diaraklan oleh Walter Ruttmann, ialah antara contoh terbaik bagi genre simfoni bandar. Pemerintahan Nazi kemudiannya menghasilkan filem-filem berunsur propaganda, walaupun karya Leni Riefenstahl masih memperkenalkan nilai estetik baru dalam filem.[95]
Ketika 1970-an dan 1980-an, Pengarah Filem Jerman Baru seperti Volker Schlöndorff, Werner Herzog, Wim Wenders, Rainer Werner Fassbinder meletakkan industri perfileman Jerman Barat kembali ke persada antarabangsa dengan filem-filem berunsur provokatif.[96]
Lewat kebelakangan ini pula, filem-filem seperti Das Boot (1981), Lola rennt (Larilah Lola) (1998), Das Experiment (2001) , Good Bye Lenin! (2003) , Gegen die Wand (2004) and Der Untergang (2004) telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Anugerah Akademi untuk Filem Bahasa Asing Terbaik pernah diberikan kepada Die Blechtrommel pada tahun 1979, kepada Nirgendwo in Afrika pada tahun 2002, dan kepada Das Leben der Anderen pada tahun 2007.[97] Pelakon-pelakon terkenal dari Jerman pula ialah Marlene Dietrich, Klaus Kinski, Hanna Schygulla, Armin Mueller-Stahl, Jürgen Prochnow dan Thomas Kretschmann.
Festival Filem Berlin yang dianjurkan setiap tahun sejak 1951 ialah sakah satu daripada festival filem terkemuka di dunia. Sekumpulan hakim antarabangsa menekankan kepada kepelbagaian filem dari seluruh dunia dan menganugerahkan pemenangnya dengan Beruang Emas dan Perak.[98] Selain itu, Berlin, yang menempatkan Akademi Filem Eropah (EFA), turut menjadi tuan rumah kepada Anugerah Filem Eropah yang dianjurkan setiap dua tahun sekali. Studio Babelsberg di Potsdam pula merupakan studio perfileman berskala besar yang tertua di dunia dan pernah menjadi pusat penerbitan filem antarabangsa.
No comments:
Post a Comment